Thursday, May 16, 2013

Guru dan Buku



Hari ini 16 Mei, merupakan tarikh sambutan hari guru di Malaysia. Hari untuk guru-guru dihargai dan diraikan bagi mengenang jerih payahnya mereka mengajar dan mendidik anak bangsa. Pelbagai ucapan direka demi menyatakan tanpa guru siapalah kita. Blog ini pun tidak berupaya dihidupkan sekiranya bukan hasil didikan insan bernama guru. Ceh! Ayat klise 'gitu'!

Berbeza dengan hari ibu yang menjadi perdebatan sama ada boleh atau tidak menyambutnya, hari guru seakan diterima baik oleh semua pihak. Tidak ada suara-suara yang menyatakan hukumnya bida'ah atau haram. Sebabnya mudah sahaja kerana tarikh hari guru disambut berbeza-beza di setiap negara dan sejarahnya juga turut berbeza. Bagi negara kita Malaysia hari guru disambut pada 16 Mei kerana pada tarikh ini dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu. (<--- ini maklumat copypaste)

Itulah serba sedikit pengetahuan am sekiranya kita mahu merujuk sejarah. Namun begitu masih ramai sebenarnya yang tidak tahu mengenainya malahan ada dikalangan guru sendiri yang langsung tidak mampu memberi jawapan apabila ditanya berkenaan perkara ini terutama guru-guru yang malas membaca. Benar, banyak jasa guru yang perlu dikenang tetapi apabila dikalangan guru sendiri tidak menjadikan membaca sebagai tabiat lalu apa sebenarnya yang dipersembahkan kepada anak muridnya?  Lalu budaya minda terkekang dan kurangnya sikap 'mencari kebenaran' yang ada pada mereka dipindahkan pula kepada murid-murid. Akhirnya proses pembodohan diwarisi turun temurun.

Bagi saya guru dan buku sepatutnya tidak boleh dipisahkan. Malang sekali sekiranya guru membenci buku dan tidak menjadikan membaca sebagai amalan hidup. Paling penting, habislah buku-buku yang saya jual di sekolah tidak laku jika para guru terus terusan tidak menyukai buku (ilmiah). Hehe... itu yang utama sebenarnya. Nama pun penjual kitab....

Selamat Hari Guru

Al-Kitabi


Tuesday, May 14, 2013

Mengapa Al-Kitabi?


"Assalamualaikum, Ustaz."

"Wa'alaikumussalam. Ini Al-Kitabi ya?"

"Ha? Err... iya."

Agak terperanjat juga apabila ditegur begitu oleh seorang ustaz semasa saya membuat panggilan kepadanya. Al-Kitabi? Siapa pula yang pandai-pandai memberi nama? Memang pernah gelaran tersebut diberikan ketika senda gurau bersama sahabat handai namun tidak pula disangka ia benar-benar menjadi satu kata ganti nama buat diri saya. Apakah ini serius?


Al-Kitabi? Emm... Okey juga meski risau disalah anggap sebagai golongan ahli kitab yang disebut dalam al-Quran. Mahu dikatakan saya ini begitu ahli dengan kitab-kitab pun tidak juga malah sebenarnya saya bukan hanya menjual kitab bahkan ada juga buku-buku lain yang berbentuk motivasi, panduan ibadah, buku kanak-kanak malah novel juga ada namun pastinya hanya novel-novel yang patuh syariah. Mengapa? Hah! itu prinsip dan saya berusaha tidak menjualnya. Doakan semoga diri saya terus istiqomah.

Mengapa mahu menulis? Itu sebenarnya memang perkara yang menjadi minat saya selain membaca dan berniaga. Bukan baru mahu bermula tetapi sebenarnya mahu menghidupkan semula aktiviti yang disepikan buat sekian lama iaitu berblogging. Saya pernah mempunyai blog sebelum ini yang agak tinggi juga pelawatnya. Cuma tiba satu masa saya fikir perlu berhenti sementara. Bukan memberi noktah kepada aktiviti penulisan namun sebenarnya mahu memberi peluang untuk diri supaya dapat menghasilkan penulisan yang lebih terarah.

Menulis boleh juga menjadi terapi jiwa bagi diri saya bahkan pada masa kini ramai sebenarnya dikalangan masyarakat kita yang sudah minat menulis. Tidak percaya? Okey, cuba lihat pada dada-dada media sosial seperti dinding facebook dan twitter. Bukankah penuh dengan penulisan? Cuma tidak semua penulisan itu memberi pengertian yang bermakna dan boleh menjadi panduan untuk semua. Terlalu ramai yang hanya gemar melontar kata rintihan terhadap segala masalah dalam kehidupan seolah-olah itu tempat yang selayaknya mengadu kepada Tuhan. Siapa Tuhan mereka sebenarnya?

Oh! Jauh saya meleret. Azan Zuhur pun sudah berkumandang. Al-Kitabi mahu berundur diri demi menyahut panggilan Ilahi.

Solat demi Tuhan

Al-Kitabi